'Pencuri tarawih' berleluasa
Yaakob menunjuk cara pencuri memasuki rumahnya dengan 
menggunakan kayu bagi mencungkil besi kerangka tingkap.
 
BUKIT TEMBAGA - Penduduk di Kampung Bukit Tembaga Selatan dekat sini, kini dihantui kejadian pecah rumah sejak bermulanya Ramadan hingga menyebabkan mereka bimbang untuk meninggalkan rumah bagi melakukan solat di masjid.

Kejadian pecah rumah itu dikatakan berlaku ketika penduduk melakukan solat Isyak dan Tarawih di masjid dan kumpulan itu mengambil kesempatan memecah rumah dengan mencuri pelbagai barangan berharga.

Mangsa, Abdul Kadir Abdul Rahman, 50, berkata, dia kerugian hampir RM300 selepas wang tunai milik isterinya serta dua telefon bimbit dicuri kumpulan terbabit.

Menurutnya, pada malam kejadian, isterinya terserempak dengan pencuri selepas melakukan solat Tarawih.
“Semasa di masjid, isteri gelisah seperti ada yang tidak kena menyebabkan dia mengajak anak pulang. Selepas sampai, isteri mendapati pintu belakang rumah sudah terbuka dan terdengar seperti orang terkejut dan berlari.

“Selepas nampak pencuri itu, isteri saya memegang parang untuk keselamatan dengan memeriksa beberapa barang yang disimpannya dan mendapati wang tunai sudah dicuri oleh kumpulan itu. Selepas memeriksa setiap bilik barulah sedar bahawa kumpulan pencuri itu masuk melalui tingkap bilik anaknya dengan mencungkil rangka besi tingkap," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Yaakob Ismail, 58, berkata, dia hanya menyedari rumahnya dimasuki pencuri apabila pulang dari melakukan solat Isyak dan Tarawih di masjid  bersama isterinya.

Katanya, dia mula menyedari rumahnya dimasuki pencuri selepas melihat kad prabayar telefon bimbitnya berada di atas meja sedangkan telefonnya itu sudah tiada.

“Semasa masuk di bilik belakang, saya dapati cermin tingkap sudah ditanggalkan dan pencuri itu menggunakan kayu untuk mencungkil besi tingkap hingga mereka boleh masuk ke dalam rumah saya,” katanya.

Yaakob berkata, selepas kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Felda Bukit Tembaga dan kejadian itu merupakan kali keempat rumahnya dimasuki pencuri.

Katanya, kejadian itu dikatakan semakin aktif sejak awal Ramadan lagi ketika orang ramai sibuk melakukan solat Tarawih dan kini sebanyak lima rumah dimasuki pencuri.