Khairul Faizi Ahmad Kamil
Khairul Faizi Ahmad Kamil
 
SHAH ALAM - Pemuda Pas hari ini mencadangkan supaya kerajaan mengusahakan tol percuma untuk rakyat.

Menurut Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, pengguna lebuhraya telah memberikan suatu sumbangan yang besar kepada syarikat-syarikat konsesi tol setiap tahun.

“Apalah salahnya, jika suatu masa syarikat-syarikat tersebut pula terfikir untuk memberikan sumbangan bermakna kepada semua pengguna lebuhraya sebagai satu tanda ‘terima kasih’ atas sumbangan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof mendedahkan dalam satu laporan bahawa sebanyak 28 buah syarikat konsesi lebuh raya di negara ini telah mengumpul sebanyak RM 4.8 bilion pada tahun 2012.

Daripada jumlah tersebut, Plus Expressway Bhd mengumpul jumlah tertinggi sebanyak RM 2.4 bilion dari Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Seremban-Port Dickson RM 24.62 juta dan Lebuhraya Sprint RM 111.84 juta.

Menurut Khairul, perkembangan ini tentunya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara disamping menguntungkan syarikat tersebut.

“Kadar keuntungan dalam masa setahun seperti yang tercatat bagi syarikat-syarikat ini mencecah RM 4.8 bilion dan melalui angka ini, boleh dibayangkan nilai keuntungannya dalam masa sepuluh tahun.

"Mungkin ianya mencecah berpuluh bilion terutamanya dengan jumlah kenderaan di jalanraya setiap hari semakin meningkat, tidak pernah berkurang dari tahun ke tahun, kesemua syarikat ini yang bertanggungjawab mengusahakan projek lebuhraya dan mengutip tol dari pengguna jalanraya telah mendapat laba dari projek mereka.

"Saya rasa, usaha untuk memberi tol percuma kepada rakyat mungkin boleh dilaksanakan,” katanya.