Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Rakyat tidak mahukan orang baik, mereka mahukan pemimpin yang baik

$
0
0
oleh Aspan Alias

Baiknya mengadakan pilihanraya dalam bulan puasa, adalah nyata. Pilihanraya kecil Kuala Besut memberikan buktinya. Tidak ada kata-mengata yang keras diantara kedua-dua belah yang bertanding kecuali beberapa insiden yang tidak menyenangkan telinga mendengarnya.

Walau bagaimanapun keseluruhannya, tetap tidak kedengaran tuduh menuduh yang kuat terutamanya dari pihak BN. Selalunya BN akan membuat berbagai cara untuk menang termasuk melakukan perkara yang tidak beretika terhadap PAS. Tiga puluh empat tahun yang lalu kawasan ini jugalah yang telah mengadakan pilihanraya kecil dalam bulan puasa jika tidak silap ingatan saya.

Kali ini BN menumpukan usaha dengan berkempen secara biasa sahaja, iaitu menumpukan kepada janji-janji pilihanraya. BN telah mengumumkan berbagai-bagai projek kepada penduduk Kuala Besut bagi memancing sokongan pengundi kerana Kuala Besut adalah tempat dalam mana PAS juga mempunyai pengaruh yang besar.


Hanya satu yang amat menarik dalam janji-janji BN apabila sampai pilihanraya. Muhyiddin Yassin, merupakan Pengarah PRK ini dan beliau mempunyai ‘tendency’ menjadikan sungai sebagai bahan kempen beliau. Dalam pilihanraya umum yang lalu Muhyiddin berjanji untuk mendalamkan Sungai Golok. Kali ini beliau berjanji pula untuk mendalamkan Kuala Sungai Besut bernilai RM250 juta.

Tidak tahulah bagaimana rakyat Kuala Besut menerima janji mendalamkan sungai itu. Di Kelantan janji mendalamkan sungai Golok tidak mendapat perhatian rakyat di negeri itu. Selepas ini tidak tahulah sungai mana pula yang hendak didalamkan oleh Muhyiddin. Mungkin kita tunggu mana-mana PRK yang akan datang dimana kawasan-kawasan itu mempunyai sungai dan parit-parit yang besar.

Janji-janji BN untuk membangunkan kawasan negara dan negeri serta kawasan ini sememangnya isu biasa dan dalam sesuatu pilihanraya ia tidak lagi menjadi isu relevan bagi rakyat untuk menentukan sikap mereka untuk menyokong mana-mana pihak.

Pimpinan kita terlupa, rakyat bukannya mudah menerima umpan-umpan seperti ini untuk menyokong. Itu sebabnya dikawasan perbandaran dan separa bandar janji-janji dan sogokkan kerajaan tidak mendapat perhatian. Tindakan Najib memberikan bantuan besar kepada sekolah India dan Cina serta wang BRIM tidak memberikan banyak munafaat kepada BN itu sendiri.

Masalahnya Najib telah membentuk ‘equation’ pemikiran rakyat sama dengan pemikiran beliau sendiri. Beliau berfikir yang rakyat sama lahapnya dengan pimpinan UMNO dalam hal wang ringgit ini. Ternyata Najib tidak sensitif dengan naluri rakyat yang dahagakan kelainan dari yang biasa mereka alami.


Rakyat ramai masih menumpukan kepada isu nasional dan di antaranya ialah imej rasuah yang melekat rapat dengan BN itu menjadi penyebab kenapa BN tidak mampu mendapat tambahan kerusi dalam PRU yang lalu malahan mendapat jumlah kerusi yang lebih rendah lagi.

Hilangnya keyakinan terhadap institusi demokrasi itu menjadi tumpuan rakyat. Mereka masih mempersoalkan isu kebebasan institusi Kehakiman dan Polis misalnya. Sebanyak lebih dari RM4 billion telah dibelanjakan untuk BRIM tetapi rakyat tetap menunjukkan protes dalam PRU yang lalu.

Itu sebabnya pembangkang mendapat tambahan sedikit kerusi kerana rakyat sudah mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada pembangkang walaupun ada parti-parti pembangkang yang tidak sebaik mana pun mendapat sokongan. Rakyat telah menerima janji pembangkang tanpa berfikir panjang. Bagi mereka UMNO dan BN mesti dikuburkan walaupun belum tentu parti yang mereka sokong sekarang ini mampu memenuhi janji-janji mereka.

Ramai yang percaya termasuk orang Melayu sendiri yang ada parti yang menjanjikan ‘multiracialism’ nya tetapi tidak ada bukti yang mereka telah dilakukannya. Rakyat masih menerima janji mereka kerana perasaan geram mereka kepada UMNO.

Bagi saya PAS merupakan parti yang sangat relevan bagi orang Melayu jika tidak berkehendakkan kepada UMNO lagi. Hanya yang perlu bagi PAS dari sekarang ini ialah untuk menentukan yang pimpinan parti itu mempunyai kemampuan untuk mentadbir kerajaan sahaja. Rakyat mahu melihat PAS menjadi parti yang proactive tentang memajukan parti itu kepada parti yang mampu mentadbir sebuah kerajaan.

Dalam tulisan saya beberapa minggu lepas saya menarik perhatian ramai dengan mengkritik parti yang sangat penting untuk orang Melayu dan Islam ini. Dari menumpukan kepada berhimpun PAS semestinya menghantar pimpinan mereka secara bergilir-gilir berkursus pentadbiran di universiti-universiti atau pusat latihan terkenal di dunia ini bagaimana untuk mentadbir sebuah kerajaan.

Itu sahaja yang kurangnya dalam PAS. Rakyat gusar kerana setelah PAS diberikan peluang mentadbir Kedah parti itu tidak sensitif untuk memberikan tanggungjawab mentadbir kepada mereka yang lebih mahir dari pimpinan yang sedang memimpin.

Bagi saya di Kuala Besut ini kemenangan PAS boleh memberikan anjakan pemikiran baru kepada PAS kerana tidak ada kekurangannya kepada PAS kecuali kekurangan imej mampu mentadbir itu sahaja.

PAS perlu ingat satu perkara penting. Rakyat bukan sahaja memerlukan orang yang baik, tetapi yang lebih penting ialah pemimpin yang baik. Orang yang baik dengan pemimpin yang baik itu adalah dua perkara yang berbeza. Ustaz Azizan misalnya, adalah orang yang sangat baik bagi saya, tetapi beliau bukanlah pentadbir yang baik. Jika PAS mampu menghilangkan imej tidak tahu menguruskan kejayaan, PAS akan menjadi parti yang paling relevan dihari muka.

Pemutusnya untuk PAS melakukan kerja penambah baikan keadaan ia memerlukan semangat untuk melakukannya dari rakyat. Pengundi Kuala Besut mungkin boleh memulakan untuk membina semangat itu dengan memberikan kemenangan kepada calon PAS walaupun dengan majoriti yang kecil sekali pun.

Lagi pun seperti yang saya sebutkan beberapa hari yang lepas, kemenangan kepada UMNO bukannya menguntungkan pun. Lagi pun janji Muhyiddin untuk mendalamkan sungai di Kuala Besut itu pun entahkan bila akan didapati oleh orang Kuala Besut.

Jangan terleka dengan janji-janji dari mana-mana pihak.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Trending Articles