Oleh Zulkifli Yahaya
TERASA semacam kita kembali berada di tahun 80-an apabila isu kafir mengkafir ditimbulkan semula. Solat dua imam, nikah dua kali, tak makan sembelihan orang Umno adalah antara isu yang berlegar di tahun 80-an.
Orang yang berpeluang mengikuti perkembangan politik tahun 80-an dapat menyaksikan bagaimana isu kafir-mengkafir dimainkan habis-habisan oleh media propaganda BN sehingga menyebabkan PAS kalah teruk PRU 1986. Di Parlimen, PAS hanya mendapat satu kerusi yang dimenangi oleh Haji Nik Abdullah Arshad di Pengkalan Chepa.
Di saat PAS ditolak-tolak mentah-mentah oleh masyarakat bukan Islam pada masa itu, maka Umno hanya perlu pastikan PAS tidak diterima orang-orang Melayu. Maka isu kafir-mengkafir terbukti sangat berkesan memberikan imej buruk terhadap PAS, yang hasilnya Umno dan BN menang besar dalam PRU.
Hari ini, Umno ditolak oleh bukan Melayu. Maka keperluan untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya undi Melayu tentulah lebih menekan BN. Jika formula isu 'kafir mengkafir' berkesan tahun 80-an maka Umno percaya ia juga masih berkesan hari ini. Sebab itulah isu itu dimainkan secara besar-besaran.
Cuma bezanya isu yang disensasikan itu hanyalah catatan bahan sejarah 30 tahun lalu. Sebahagian besar pengundi muda hari ini belum lahir atau masih terlalu kecil untuk memahami politik. Isu yang cuba disensasikan media BN itu nampak mengada-ngada, dibuat-buat dan tiada kena mengena dengan generasi hari ini.
Setakat ini belum ada catatan bahawa bahan sejarah mampu mempengaruhi pengundi sehingga ke peringkat menentukan kerajaan memerintah. Rakyat umumnya lebih berminat untuk ambil tahu isu kebajikan, perjalanan kehidupan seharian, harga barang, kos hidup, pendidikan, sosial, cabaran semasa dan sebagainya.
Isu kafir mengkafir tahun 80-an bukan bermula dengan 'Amanat Haji Hadi' (AHH). AHH hanyalah petikan ucapan yang dibuat dari satu ceramah Presiden PAS, kini Dato' Seri Abdul Hadi Awang, di Banggol Peradong, tahun 1981. Ceramah itu telah dirakam dan dijual merata tempat. Ia kemudiannya dirakam dalam sekeping kertas. Ia dicetak dan diedarkan.
AHH menjadi popular kerana sewaktu berlaku peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali tahun 1985, kertas amanat itu kononnya tertampal di dinding rumah Ustaz Ibrahim Libya. Lalu ia dijadikan punca terhadap peristiwa Memali, kononnya PAS menganggap orang Umno kafir.
Isu kafir mengkafir bermula dari pendekatan PAS yang mahu membetulkan akidah umat Islam dengan penjelasan batas-batas iman dan kufur. Ia adalah sebahagian dari catatan ilmu Islam dan bukan persoalan politik.
Tuan Guru Haji Hadi mengupas kitab Mustika Hadis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia bukan bikinan ulamak Syiah, Wahabi atau Salafi atau mana-mana pihak yang tidak digemari oleh kerajaan Malaysia.
Antara penekanannya ialah perkara yang boleh membawa kepada kekufuran ialah apabila mengungkapkan perkataan yang memperlekeh syariat Allah. Kebetulan ayat-ayat celopar itu sering disebut oleh pemimpin Umno, khususnya mengenai hukum hudud.
Sepatutnya pihak yang keluarkan kenyataan mempersenda syariat bertaubat, anehnya sikap bebal yang ada dalam diri beberapa pemimpin Umno menyebabkan mereka mendakwa 'PAS tuduh Umno kafir'. Apabila isu ini berpindah ke laman media Umno maka isu isu dipropagandakan habis-habisan untuk memburukkan PAS.
Sehingga lahirnya cadangan perdebatan Umno-PAS secara langsung di RTM atas tajuk yang ditetapkan Umno iaitu 'PAS tuduh Umno kafir'.
Di samping tidak dinafikan terdapat segelintir pemimpin bawahan dan ahli PAS yang terlebih laju dari kitab, terus menghukum Umno kafir. Golongan ini berjuang berlandaskan nafsu amarah terhadap Umno semata-mata dan bukan berlandaskan disiplin ilmu apatah lagi uslub dakwah.
Ada berkuliah menggalakkan memotong kaki orang Umno dengan pisau tebas. Ada yang berceramah, jika Umno mati dikuburkan di tempat orang Islam maka mayat akan merangkak dalam tanah ke jirat Cina. Mereka berucap sewenang-wenangnya dalam kuliah dan ceramah, walaupun diberi teguran oleh pucuk pimpinan lebih atas tetapi tidak dihiraukan.
Ditakdirkan Allah, akhirnya golongan segelintir yang merapu di dalam PAS ini akhirnya menyertai Umno atau berada di pentas Umno untuk membelasah PAS. Mereka digunakan oleh pihak keselamatan atau dalam ceramah tertutup Biro Tata Negara untuk mendedahkan 'kesesatan' PAS, walhal golongan segelintir inilah pelopor kesesatan inilah suatu masa dahulu.
Saya tertarik dengan pendedahan tulus ikhlas rakan baik, Cikgu Zainon Ismail atau nama penanya CN Al-Afghani. Bahawa sewaktu dalam PAS beliau antara yang mengkafirkan orang Umno termasuk saudara maranya sendiri.
Cikgu Non yang bukan tokoh hebat sewaktu dalam PAS dahulu tetapi dijulang sebagai seorang wira oleh media-media talibarut BN apabila membuat pendedahan perihal kesilapan, yang sebenarnya bukan kesilapan PAS tetapi kesilapan diri sendiri dalam membuat hukuman mengikut selera nafsu. Nampak sangat Umno terus mengeksploit isu tersebut untuk memburukkan PAS bukan untuk membetulkan keadaan. Saya berdoa janganlah pula bekas wartawan Harakah ini membuat kesilapan kedua selepas keluar dari kerja mengkafir, terjebak pula dengan kerja membantu mempertahankan kerajaan Umno yang penuh dengan kemungkaran.
Isu kafir-mengkafir (isu kecil yang diperbesarkan) sekitar 80-an sebenarnya terhapus apabila Presiden PAS, Almarhum Dato' Fadzil Noor memperkenalkan program "Memasyarakatkan PAS" sekitar 90-an. Ahli-ahli PAS diminta hadir ke tengah masyarakat bergelumang dalam setiap aktiviti kemasyarakatan.
Sejak itu Umno tidak dapat lagi menjengah kegiatan pulau memulau, solat dua imam dan sebagainya yang boleh dijadikan modal politik pilihan raya. Malahan terdapat pandangan dari wakil rakyat PAS, jika berlaku pertembungan antara kenduri orang PAS dan Umno, maka kenduri Umno hendaklah diutamakan.
Logiknya orang PAS tetap akan menyokong PAS sebaliknya sokongan daripada penyokong Umno yang perlu ditarik.
Maka apa lagi yang Umno begitu pulun untuk menghidupkan semula isu AHH kalau segalanya sudah harmoni melainkan Umno sengaja menjadi batu api untuk memecahbelah umat Islam akibat berkawan dengan syaitan dikenali.