Minta Mada roboh empangan mini
Mat Isa menunjuk tanah dusunnya yang terjejas kerana pembinaan 
empangan mini di Kampung Bukit Sena
 
Minta Mada roboh empangan mini
Mini empangan di Kampung Bukit Sena menyebabkan berlakunya 
tanah runtuh di Padang Mat Deramat, Pedu.
 
PEDU - Pengusaha–pengusaha dusun di Padang Mat Deramat dekat sini merayu agar pihak Mada merobohkan empangan mini yang dikatakan punca tanah dusun mereka terhakis.

Seorang pengusaha, Mat Isa Ismail, 59, berkata, sejak pihak Mada membina empangan  mini  itu pada awal Mac lalu , air Sungai Pedu telah dialirkan ke arah tanah mereka menyebabkan ia makin terhakis setiap hari.

Empangan mini itu sebenarnya dibina di seberang sungai terletak di Kampung Bukit Sena untuk mengepam air ke sawah Mukim Tekai yang dijalankan secara berkelompok tetapi sehingga hari ini projek itu dikatakan gagal.

"Malangnya selepas air sungai itu dialirkan ke arah tanah kami, banyak pokok buah-buahan telah masuk ke dalam sungai kerana tebing sungai semakin runtuh.

"Masalah ini bertambah serius lagi apabila berlakunya hujan menyebabkan air sungai semakin laju dan mempercepatkan lagi berlakunya hakisan,” katanya.

Mat Isa berkata, masalah  berkenaan sudah dilaporkan kepada pihak Mada dan pihak itu memaklumkan akan menimbus kembali tanah yang runtuh itu. Bagaimanapun sehingga sekarang tidak ada sebarang tindakan diambil.

Rakannya, Othman Ahmad, 55, berkata, pihak berkenaan perlu merobohkan kembali empangan itu yang kini sudah tidak berfungsi lagi kepada petani di Mukim Tekai.

Empangan yang dibina dengan batu dalam sangkar itu perlu dirobohkan supaya air Sungai Pedu dapat mengalir seperti biasa serta boleh mengelak berlakunya hakisan tanah di kawasan itu.

Semenjak empangan itu dibina, air sungai sering naik ke dusunnya menyebabkan dia bimbang hakisan akan berlaku lebih serius lagi.

"Oleh itu saya berharap pihak Mada dapat bertindak secepat mungkin kerana bimbang tanah dusun mereka terjejas,” katanya.