Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Kedah sediakan 100 pegawai penguatkuasa bertugas pantau harga

$
0
0
26 Julai 2013

SUNGAI PETANI - Lebih 100 pegawai penguatkuasa dan 60 pegawai pemantau harga akan berada di lokasi tumpuan ramai di Kedah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani sepanjang sambutan Hari Raya bagi memastikan peniaga tidak mengaut keuntungan berlebihan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah Mohd Sakri Salleh berkata pemeriksaan di pasar-pasar kini mendapati kebanyakan peniaga mempamerkan tanda harga bagi setiap barangan yang dijual dan mematuhi harga jualan yang ditetapkan.

Beliau berkata menerusi Ops Harga yang dilancarkan bulan lepas hingga Rabu lalu, 5,254 premis diperiksa dan 36 kompaun dikeluarkan kebanyakannya bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga.

Beliau turut memberi jaminan bekalan ayam, daging tempatan dan import di negeri ini dijamin mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri walaupun permintaan biasanya meningkat.


"Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) memberi jaminan bekalan ayam mencukupi dan jika perlu, permit kelulusan (AP) akan dikeluarkan untuk mengimport ayam dari negara terpilih.

"Jabatan Veterinar turut mengimport lembu hidup dari negara jiran dan daging sejuk beku dari India untuk memastikan bekalan mencukupi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013, di Pasar Awam Taman Ria di sini hari ini.

Di GEORGETOWN, Pengarah PPDNKK Pulau Pinang Mohd Salleh Ma’Amor berkata 100 pegawai penguatkuasa dan 80 pegawai pemantau harga ditugaskan di negeri itu sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata pihak kementerian akan mendapatkan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) serta skuad pengguna, penghulu dan ketua masyarakat untuk memantau dan menyebarkan maklumat mengenai skim kawalan harga itu.

"Sepanjang 2013, PPDNKK negeri merekodkan 104 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 oleh Timbalan Menteri Kesihatan merangkap anggota Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di pasar awam Bayan Baru hari ini.

Katanya harga runcit bagi ayam hidup dan standard kini kembali terkawal di Pulau Pinang khususnya di Balik Pulau.

Mohd Salleh turut memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya.

"Pengguna tidak perlu bimbang kerana kita (kementerian) tetapkan harga runcit bagi kelapa parut RM6 sekilo manakala harga borong bagi sebiji kelapa RM1.50," katanya. - Bernama

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Trending Articles