Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Ayuh Semua... Jangan biarkan Ramadan kita 'kemetot'...!!!

$
0
0
Oleh Zulkifli Yahaya

SETIAP kali PAS kalah pilihan raya, maka ulasan, muhasabah, kritikan, 'post mortem' dan sebagainya akan berjela-jela tersenarai sebab musabab kekalahan yang sebahagian besarnya terjurus kepada faktor-faktor nyata. Faktor tersebut seperti isu semasa, penipuan pihak lawan, demokrasi pincang, pengkhianatan dalaman, kelemahan jentera dan kekuatan pihak lawan.

Kekurangan yang berkaitan dengan urusan kerohanian atau munajat jarang tersenarai dalam 'post mortem'.

Para sahabat Rasulullah s.a.w. pernah tidak menang-menang dalam pertempuran melawan musuh. Mereka melakukan muhasabah sejenak, lalu membuat kesimpulan bahawa mereka telah meninggalkan satu sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu bersugi. Selepas bersugi Allah turunkan kemenangan.

Catatan sejarah para sahabat ini pernah dirakamkan oleh Almarhum Dato' Fadzil Noor dalam satu ucapan dasar muktamar tahunan PAS yang berlangsung di Taman Melewar. Almarhum mahu ahli-ahli PAS mengambil iktibar supaya jangan meninggalkan perkara yang mengundang pertolongan Allah dalam perjuangan.

PAS sebagai jemaah Islam adalah lebih besar kehebatan dan kemuliaannya berbanding PAS sebagai parti politik yang menyertai pilihan raya. Sertai pilihan raya adalah untuk menang sebagai laluan melaksanakan Islam melalui kuasa yang diperolehi. Namun sebagai sebuah jemaah yang memperjuangkan Islam, tanpa memperolehi kemenangan pilihan raya pun PAS wajib bertekad supaya anggotanya serta seluruh sasaran dakwahnya menang di akhirat - dengan maksud bebas daripada api neraka.

Akhirat adalah persoalan besar bagi setiap manusia kerana di sana mereka akan kekal selama-lamanya. Tiada peluang untuk memperbaiki nasib di akhirat kerana ia kena dilakukan sewaktu berada di dunia. Itu jugalah persoalan besar yang perlu difikirkan oleh PAS sebagai jemaah Islam, perlu diseminarkan dan di'postmortem' secara berfasa sebelum dunia kiamat atau sebelum kita mati.

Selepas kemenangan Dr Mohamed Morsi dan penguasaan Ikhwanul Muslimin dalam politik Mesir, ramai yang kembali mengkagumi harakah Islam terbesar dan tertua di dunia itu. Sejak zaman As-Syahid Hasan Al-Bana tarbiyah anggota Ikhwanul Muslimin sangatlah hebat. Mereka mempunyai silibus amalan harian yang mendekatkan diri kepada Allah bagi setiap anggota, berbeza daripada tahap kepimpinan hingga ahli biasa. Sepertimana badan perlu melakukan riadhah untuk kesihatan, mana rohani juga perlukan riadhah kerohanian. Wirid Al-Ma'thurat yang dikompilasi oleh asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna menjadi wirid harian yang diwajibkan terhadap ahli-ahli Ikhwanul Muslimin.

Mereka berjaya menghasilkan anggota yang berkualiti serta tidak terperangkap dengan habuan duniawi. Sebaik Parti Kebebasan dan Keadilan (daripada Ikhwanul Muslimin) menguasai Mesir, Parlimen dipenuhi oleh para hafiz al-Quran dan menteri yang dilantik daripada Ikhwanul Muslimin hampir kesemuanya memiliki status 'doktor'. Order lama tinggalan Hosni Mubarak yang bersisa dalam pentadbiran menjadi buntu apabila anggota Ikhwanul Muslimin yang diserap masuk dalam kerajaan rupanya adalah golongan yang tidak berubah pendirian hanya dengan umpan rasuah.

Saya rasa rasa teruja untuk menyentuh persoalan ini dengan sentuhan Ramadan yang menaungi kita sekarang. Ramadan adalah madrasah takwa, jadi sejauhmana kita menggerakkan perkara kerohanian yang mendekatkan diri dengan Allah.

Sejauhmana anggota-anggota kita digerakkan secara perancangan oleh jemaah untuk menghayati dan mengamalkan ibadah khusus seperti solat berjemaah, bacaan al-Quran, qiyamullail, solat sunat, bersedekah, memburu qiyamullail, menadah ilmu dan sebagainya? Seterusnya amalan ini dilanjutkan di luar Ramadan. Perkara ibadah ini jika dibiarkan untuk dilakukan secara sendirian oleh anggota jemaah secara individu rasanya tidak ramai yang ada kekuatan. Kita mampu menggerakkan ahli-ahli jemaah untuk menghadiri kursus berkaitan pilihan raya, mengapa agaknya kita ketinggalan untuk mengerakkan pelbagai program berkaitan Ramadan terhadap ahli-ahli?

Jika seluruh ahli PAS digerakkan untuk mengisi 10 malam terakhir Ramadan di masjid-masjid seperti mana mereka digerakkan untuk menyertai himpunan Bersih atau Blackout, rasanya jumlah ramainya ahli dan penyokong PAS itu cukup menukar suasana malam menjadi siang. Ia adalah amalan untuk mendapatkan keredaan Allah di samping membina kekuatan dalaman dalam perjuangan, bukan untuk keuntungan politik atau menunjuk-nunjuk. Pedulikan apa orang nak kata yang penting kita melakukan apa yang Allah mahu hamba-Nya lakukan.

Walaupun amalan kerohanian tersebut dilakukan bukan diniatkan untuk menang pilihan raya tetapi untuk menang perlawanan dengan musuh, kekuatan kerohanian sangatlah penting dalam semua keadaan. Allah menjanjikan pertolongan Allah hanya datang untuk golongan yang beriman dan bertakwa. Tiada guna kemenangan jika ianya istidraj (nikmat yang datang bersama kemurkaan Allah).

Ramadan masih berbaki. Tahun-tahun akan datang Ramadan akan terus berkunjung. Walaupun kita belum pasti akan ada di kala itu namun PAS sebagai jemaah Islam tidak akan ditutup, insya-Allah. Jadikanlah Ramadan sebaik-baik madrasah tarbiyah untuk setiap amilin yang berjuang dalam PAS. Jangan 'dikemetotkan' Ramadan kita.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707