Oleh: FARUSH KHAN
Tarikh: August 7, 2013
Ini hari terakhir kita berpuasa. Mereka yang hati hampir dengan ALLAH akan menangisi pemergian Ramadan, bulan yang di dalamnya penuh dengan keberkatan dan keampunan.
Doakan moga kita semua dihitungkan bersama golongan itu, insya-ALLAH. Hari ini sebilangan besar daripada pembaca budiman tentunya sudah pun berada di kampung bersama ibu bapa, saudara-mara dan sanak-saudara.
Pada masa sama, ada juga segelintir yang terus beraya di bandar kerana mereka lahir dan dibesarkan di bandar serta mempunyai ramai kaum keluarga bermastautin di bandar.
Tetapi kebanyakan kita orang kampung. Kalau pun sudah tidak mempunyai ibu, bapa atau mertua, adik-beradik dan sanak-saudara masih ramai di kampung.
Kepada yang bergembira dengan keluarga di hari raya ini, kita ucapkan tahniah. Bagi mereka yang beraya dalam keadaan ibu bapa, anak, isteri atau sanak-saudara baru sahaja kembali ke rahmatullah, kita ucapkan takziah. Banyaklah bersabar dan terus berdoa agar mereka dikumpulkan bersama mereka yang diredai ALLAH.
Bagi yang masih dalam perjalanan, tentukan yang memandu sentiasa fokus. Jangan main SMS atau ketawa lebih-lebih sangat. Anda mungkin pemandu cekap, tetapi kemampuan pemandu di depan dan belakang anda belum tahu bagaimana.
Kita nak selamat pergi dan kembali.Jangan biarkan orang menangis kerana kita di hari mulia dan bahagia ini. Tahun ini, seperti tahun lalu, hampir setiap malam saya berbuka dan bersolat di laman Karangkraf di Shah Alam.
Moga ALLAH memberi ganjaran berlipat ganda kepada majikan yang sangat pemurah itu. Seronok berbuka di pejabat, kawan ramai macam di rumah kenduri.
Orang seperti saya sudah tidak berpeluang lagi memohon ampun pada ibu dan ayah kerana mereka sudah tiada. Tapi bagi pembaca budiman yang masih beribu dan berayah, esok mintalah ampun dan maaf kepada kedua mereka dengan penuh keinsafan.
Kita tidak tahu apakah kita akan dapat hidup hingga Syawal tahun hadapan. Syukurlah yang masih ada ibu dan ayah. Gembirakan mereka tak semestinya dengan wang ringgit. Mereka lebih perlukan kasih sayang.
Imam Ghazali sanggup berterus terang kepada perompak di mana beliau simpan duitnya kerana patuh kepada pesanan ibunya supaya jangan bercakap bohong.
Kalau kita sudah penuhkan Ramadan dengan ibadat dan amalan baik, solat-solat sunat, Tarawih, tadarus, qiamullail, Tahajud, doakanlah moga ALLAH menerima amalan kita.
Yang terlepas peluang keemasan itu, doakanlah juga supaya ALLAH panjangkan usia supaya dapat menebus kekurangan amalan pada Ramadan tahun depan. Mereka yang kena tangkap kerana ponteng puasa atau sebagainya di bulan puasa ini, mohonlah ampun daripada ALLAH dan tingkatkan ibadah.
Bagi yang bersusah payah tahan makan minum selama sebulan tapi ponteng solat fardu, kena taubat juga. Kata ustaz saya, tinggal solat fardu itu fasik.
Kita selalu dengar: ALLAH tidak mengampunkan dosa mereka yang sekutukanNya, tetapi mengampuni dosa yang selain daripada syirik bagi sesiapa yang dikehendaki (Annisa -116).
Orang yang bijak adalah yang tidak bertangguh untuk bertaubat, kerana mereka sedar kematian boleh datang pada mereka bila-bila masa. Kata hadis, orang mukmin melihat maksiat yang kecil seperti gunung yang hendak menghempap kepala, tetapi orang yang derhaka kepada ALLAH menganggap dosa yang besar sebagai lalat yang boleh ditepis dengan mudah.
Masa kanak-kanak tidak apalah kalau nakal; dikejar bilal kerana memukul gendang hingga lepas waktu sahur, main sorok-sorok tepi kubur di tengah malam, bakar mercun dan meriam buluh serta usik rakan-rakan semasa Tarawih. Kini semua itu jadi kenangan.
Kini kita sudah dewasa dan perlu jadi teladan kepada yang muda. Jaga perbuatan, jaga mulut, jaga amalan. Jauhkan fitnah dan mengumpat. Kalau kita burukkan orang lain, ia tidak menjadikan kita dipandang lebih baik daripada orang yang kita burukkan.
Janji kena tepati, kalau silap minta maaf. Minta maaf bukan perkara mudah kerana ia melibatkan ego. Jadi di bulan Syawal inilah masa terbaik lakukannya kerana masa itu ia menjadi lumrah.
Akhir kalam, saya menyusun 10 jari, memohon maaf zahir dan batin daripada pembaca budiman atas sebarang kesilapan. Melakukan kesilapan itu manusia, memaafkan adalah kemanusiaan.
Jangan lupa hubungi jiran di bandar yang tidak balik kampung supaya tengokkan rumah hingga anda kembali. Jangan bergantung polis sahaja, kerana barangkali mereka sibuk atau kurang tenaga.