Pelancaran buku Awakening ditangguh
Oleh: Wartawan Sinar Harian Tarikh: August 11, 2013
PETALING JAYA - Pelancaran buku ‘Awakening: The Abdullah Years In Malaysia’ ditangguh sehingga diberitahu kelak kerana 'pempolitikan' dalam laporan media.
Prof James UH Chin yang menyunting buku itu bersama Prof Bridget Welsh berkata, kelewatan pelancaran itu yang pada mulanya ditetapkan 16 Ogos ini, bagi mengelakkan salah faham berterusan.
“Media telah tersilap dengan melabelkan buku tersebut sebagai “Buku Pak Lah”. Ini tidak betul. Ia merupakan koleksi pelbagai pandangan yang kebanyakannya agak kritikal dalam tempoh perkhidmatan beliau,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, semalam.
James dan Welsh berkata, sambutan media untuk buku itu tidak dijangka, dengan tumpuan diberikan pada bahagian sensasi terutama temubual bersama Abdullah.
Mereka juga menegaskan bahawa mereka tidak pernah diminta untuk melambatkan penyiaran buku, sebelum atau selepas mana-mana pilihan raya.
“Tanggungjawab kelewatan ini terletak kepada editor, kerana kita berurusan dengan banyak penerbit, percetakan dan percanggahan permintaan profesional,” katanya.
James dan Welsh menggesa media dan komuniti blog supaya bertindak secara bertanggungjawab dan membaca buku itu sebelum membuat penilaian.
Mereka berkata buku itu terkandung perspektif daripada penyumbang daripada semua pihak dan jurang politik serta daripada pemerhati akademik.
“Kami berusaha untuk mempunyai koleksi seimbang dan sebahagian daripada keseimbangan adalah memberi ruang kepada Pak Lah sendiri untuk bercakap tentang dirinya dalam tempoh perkhidmatan beliau,” kata mereka.