Skuad PM perlukan Roy Keane - Wenger Khairy
Hampir semua orang tahu bahawa perdana menteri merupakan seorang peminat tegar kelab gergasi Manchester United. Malah, Datuk Seri Najib Razak mengikuti perkembangan skuad tersebut dari zaman muda dan tentunya mengenali dengan intim nama pemain superstar Red Devils seperti George Best, Dennis Law (yang akhirnya "murtad" dan berhijrah ke Manchester City), Bryan Robson dan Eric Cantona.
Pemain yang disebut tadi semuanya pemain forward, menyebabkan mereka mendapat lebih banyak perhatian daripada pemain lain. Tetapi pemain forward hanya boleh menjaringkan gol jika pasukan mereka dapat menghantar bola ke depan. Sehebat mana pun barisan serangan, akan sia-sia jika barisan midfield tidak dapat memenangi bola ataupun mematahkan serangan pihak lawan.
Dalam pada itu, kami melihat pejabat Perdana Menteri seolah-olah seperti sebuah pasukan bola sepak. Ianya diketuai oleh Najib yang memainkan peranan "The Gaffer" ataupun "Bos". Kemudian dibarisi dengan "penyerang handal" yang terdiri dari ketua koperat, konsultan, cendekiawan, jurumedia dan penganalisis yang semuanya cerdik, bertauliah, mempunyai kepakaran yang khusus dan cukup berpengalaman.
Berbekalkan dengan idea bernas dan pelan strategik yang digubal oleh skuad PM, kerajaan Najib tidak berpuas hati menjadi kerajaan kesinambungan semata-mata tetapi cuba menjadi sebuah kerajaan transfomasi. Ketika Najib mula menerajui kepimpinan negara, beliau menetapkan matlamat yang sangat tinggi iaitu menjadikan negara Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Beliau tidak mahu negara dibelenggu dengan kaedah kuno dan sekali gus mewujudkan unit Pemandu yang dibarisi oleh konsultan pengurusan yang muda dan berpendidikan tinggi.
Di antara kaedah baru yang disarankan oleh kerajaan Najib ialah untuk merasionalisasi subsidi yang menelan belanja berpuluh-puluh billion ringgit setahun. Ramai mungkin tidak sedar bahawa sistem subsidi ini sebenarnya wujud disebabkan oleh pengabaian oleh kerajaan-kerajaan sebelum kerajaan Najib yang mewujudkan sistem penswastaan dengan kontrak jangka masa panjang dengan pulangan terjamin yang lumayan.
Infrastruktur di pusat bandar dibangunkan tanpa adanya "skalabiliti" ataupun sistem yang dapat diperkembangkan supaya menampungi pertumbuhan bilangan penduduk yang sejajar dengan perkembangan semasa.
Dalam aspek keharmonian negara, meskipun Najib cuba sedaya upaya untuk merapatkan penduduk yang berbilang kaum namun beliau terpaksa berdepan dengan cabaran yang wujud disebabkan perpecahan ketara di antara kaum dan agama. Dalam aspek ekonomi, skuad beliau cuba mewujudkan Pelan Transfomasi Ekonomi tetapi berdepan iklim ekonomi sejagat yang tidak menentu.
Inilah antara cabaran yang terpaksa diharungi oleh kerajaan Najib.
Lebih mengecewakan lagi, pada saat yang cukup genting ini, skuad perdana menteri dipukul badai media sosial. Kenyataan perdana menteri ‘dispin’, digoreng, disunting dan dijadikan bahan lawak oleh sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan. Golongan tersebut adalah musuh politik dari dalam dan luar parti. Mereka cuba memberi gambaran seolah-olah skuad PM yang handal ini tidak berpijak di bumi nyata, tidak berkebolehan dan sering mengalami jalan buntu. Inilah persepsi yang cuba diwujudkan oleh golongan tersebut.
Di sini kami ingin menegaskan bahawa kekurangan yang ada di skuad PM ini bukan kekurangan daripada aspek kebolehan atau kemahiran. Kalau adanya kekurangan ia kerana skuad PM tiada "midfield general" ala Roy Keane yang tidak takut, tidak malu dan tidak berkompromi dengan pihak lawan.
Kalau kita menghayati corak permainan Roy Keane, beliau sentiasa membaca permainan dan sering membuka ruang untuk melancarkan serangan. Beliau tidak takut melakukan tackle untuk memenangi bola bagi pasukannya, malah wataknya yang brutal sering menjadikan seterunya takut dan hilang daya untuk melawan. Inilah orang yang diperlukan oleh skuad PM yang tidak gentar berkonfrontasi dengan pengamal media sosial ataupun media perdana yang cuba mewujudkan persepsi buruk terhadap PM.
Maka kami berharap, jangan ada di antara skuad PM yang kini serba salah atau tertekan kerana kononnya rakyat tidak lagi bersama PM. Di sini kami menegaskan, walaupun diletakkan tunggul kayu pun sebagai calon kerajaan, ia tetap akan menang jika rakyat tidak lagi diasuh untuk menentang PM. – rembautimes.blogspot.sg, 21 Januaari, 2014.