Kerajaan Pusat perlu lebih adil
KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberi hak perlesenan kepada pihak pembangkang untuk memiliki stesen televisyen ataupun radio sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, hak perlesenan itu harus diberikan kepada semua pihak supaya rakyat dapat menilai sendiri apa yang baik atau sebaliknya.
“Media arus perdana sekarang hanya membentangkan sebelah pihak sahaja dan rakyat tidak diberi pendedahan tentang parti-parti lain, maka timbullah pelbagai masalah seperti perhimpunan haram dan juga isu-isu seperti bakar kain rentang baru-baru ini,” katanya di sidang media di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.
Beliau berkata, isu pembakaran kain rentang ‘R’ yang tertulis titah Yang Mulia Al-Sultan Kelantan baru-baru ini berlaku adalah disebabkan salah faham rakyat terhadap apa yang diperjuangkan.
“Untuk mengatasi masalah ini dengan lebih cepat, Kerajaan Persekutuan perlu memberi hak sama rata kepada Pakatan Rakyat menyiarkan isu-isu yang mereka bawa supaya rakyat tahu apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.
Mengulas isu kain rentang tersebut, Abdul Fattah berkata, setiap kain rentang yang digantung mempunyai lesen tersendiri mengikut ketetapan yang diperlukan.
“Semua kain rentang yang digantung perlu memenuhi syarat-syarat yang diperlukan. Saya minta kepada mereka yang tidak berpuas hati atau tidak setuju dengan manamana kain rentang yang digantung untuk tampil membuat aduan dengan pihak yang sepatutnya, bukan dengan cara keganasan sepertimana yang berlaku,” katanya.
Khamis lalu, Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) berasa kecewa apabila papan iklan mereka yang memaparkan gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang diletakkan di hadapan Kompleks Darul Naim dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, beliau turut mengulas tentang stadium yang akan dibina di negeri ini kini dalam proses hampir ke peringkat awal pembinaan.
“Pihak kami baru siap proses ukur halus dan perancangan ini tidak mempunyai sebarang masalah, cuma kawasan pembangunan persekitaran itu perlu diteliti kerana ada bukit di kawasan berhampiran. Kami masih mengkaji
beberapa perkara lagi dan upacara pecah tanah mungkin akan diadakan awal Januari tahun depan,” katanya.