MB S'gor: Beku akaun Khalid bukan kerana dendam
Menteri Besar Selangor Azmin Ali menafikan dakwaan akaun Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi kawasan Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang yang diwakili Tan Sri Khalid Ibrahim dibekukan kerana bermotifkan dendam.
Sebaliknya, Azmin berkata, tindakan tersebut merupakan prosedur biasa yang dilakukan terhadap ADUN yang sudah lagi tidak menjadi ahli parti dalam Pakatan Rakyat.
Malah, katanya, Khalid juga sebelum ini pernah melakukan perkara sama kepada enam exco yang dipecat serta bekas ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah.
"Tak ada unsur dendam. Itu dasar yang digunapakai beliau (Khalid) sendiri. Semasa 2008, wakil (rakyat) kita daripada Pelabuhan Klang yang keluar parti itu dibekukan juga dan setelah enam exco dipecat, itu (bekukan akaun) dilakukan oleh Tan Sri Khalid.
"Saya tak tahu, ia diuruskan oleh pentadbiran. Tetapi program akan diteruskan dan penerima yang layak tetap terima bantuan," katanya kepada pemberita di lobi bangunan SUK di Shah Alam hari ini.
Ditanya sama ada beliau memusuhi Khalid, Azmin yang juga MP Gombak secara ringkas berkata:
"Tak adalah. Dia sahabat saya."