Hanya 82 unit rumah mampu milik berharga RM400,000, kata Guan Eng

Tergesa-gesa di Komtar untuk mendapatkan borang pendaftaran. — Gambar K.E. Ooi
KUALA LUMPUR, 7 Feb — Kerajaan Pulau Pinang cuma memperuntukkan enam peratus sahaja daripada perumahan mampu milik di negeri tersebut yang bernilai RM400,000 ke atas, kata ketua menteri Lim Guan Eng.
Projek perumahan yang membina 1,840 unit rumah di bahagian pulau dan tanah besar, adalah sebahagian dari projek RM500 juta Rumah Mampu Milik yang dijalankan kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membina 19,172 unit di seluruh Pulau Pinang, termasuklah di bahagian pulau.
“Adalah tidak benar mengatakan hanya projek perumahan untuk unit RM400,000 sahaja dibina seperti yang dituduh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Lim dalam majlis perasmian pendaftaran perumahan mampu milik di Pulau Pinang hari ini.
Lim menjawab tuduhan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, yang mendakwa kerajaan negeri hanya membina unit pangsapuri bernilai RM400,000 sahaja untuk mengaut keuntungan.
“Saya kesal apabila kerajaan negeri dan arkitek profesional seperti Dato Rosli telah diserang dengan penipuan melalui media kawalan BN bahawa hanya pangsapuri RM400,000 sahaja yang dibina,” kata Lim lagi.
“Mereka yang bukannya profesional pun mahu bercakap seperti seorang arkitek. Biarlah arkitek profesional melakukan kerja mereka.”

Javanthi Bee Bee binti Abdullah menerima borang pendaftaran dari Lim.
Menurut Lim, cuma 82 unit dari 1,840 keseluruhan, yang berkeluasan 1,000 kaki persegi yang berharga RM400,000 yang terletak di Jalan S.P. Celliah.
“Kerajaan negeri tidak membina apa-apa rumah tetapi membinanya melalui PDC mengikut model yang sama dengan kerajaan Persekutuan yang tidak membina rumah secara terus tetapi melalui agensi mereka, Syarikat Perumahan Awam Negara (SPAN).
“Ini menolak serangan tidak berasas oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri tidak membina satu pun rumah kos rendah,” kata Lim lagi.
Lim menambah, bagi Bandar Cassia, Batu Kawan, keseluruhan projek akan memperlihatkan lebih daripada 11,800 unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10-15 tahun.
“Buat masa ini, untuk Bandar Cassia Fasa 1, Batu Kawan, akan terdapat 149 unit pangsapuri 800 kaki persegi kos sederhana rendah RM72,000 sebuah.
“Akan terdapat 98 unit 900 kaki persegi berharga RM168,000 dan 273 unit 1,000 kaki persegi berharga RM220,000 untuk pendaftaran,” kata Lim lagi.
Bulan lalu, Teng menyelar tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menjual rumah mampu milik pada harga mencecah RM400,000 seunit.
Menurut Teng, harga berkenaan tidak menepati matlamat asal projek berkenaan yang mahu melihat rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri, serta hanya mahu menguntungkan pihak swasta dan bukan membantu rakyat.