PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlukan sokongan dan teguran yang ikhlas dalam mengatasi kemelut yang berlaku antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut pendakwah bebas Dr Ridhuan Tee Abdullah, senario yang berlaku sekarang amat berbahaya kerana perbuatan membodek tidak akan membawa sebarang penyelesaian sebaliknya akan merosakkan keadaan.
“Politik membodek amat ketara ketika berkuasa. Jarang yang berani kata ‘No’ kepada PM. Boleh dikatakan, semuanya ‘Yes’ belaka. Saya tidak yakin PM mahukan jawapan sedemikian. PM mahukan keikhlasan. Tegur dan beri pandangan dengan ikhlas dan jujur. Bukan melaga-lagakan,” katanya.
Dalam tulisannya, Ridhuan menempelak golongan berkenaan yang dikatakan lebih suka jatuh menjatuh, fitnah menfitnah dan melaga-lagakan antara satu sama lain.
“Tidak cukup dengan Tun, anak Tun, Mukhriz, MB Kedah, turut dimangsa oleh segelintir pemimpin Umno. Mereka mahukan anak Tun menyatakan pendirian sama ada sokong Tun atau PM. Tidak salah jika anak Tun mengambil pendirian menyokong manapun. Apa yang penting, neraca yang digunakan, Islam. Amar makruf, nahi mungkar. Ditakdirkan anak menyokong bapa, tidak perlu cari jalan menyingkirkannya. Berlapang dada,” katanya.
Jelas Ridhuan, sepatutnya pemimpin UMNO menjadi orang tengah dengan memikirkan parti itu di masa hadapan.
Katanya, parti itu sedang membusuk dan jika ia berlaku, sokongan orang Melayu akan beralih kepada Pas.
“Tidak mustahil suatu masa nanti, ditakdirkan Umno membusuk, disebabkan oleh tindakan segelintir pemimpinnya yang tidak boleh dicontohi, Pas boleh mengambil tempat Umno. Kepada Umno, ingat amaran Allah, tidak mustahil, Allah akan gantikan kamu dengan orang yang lebih baik, jika kamu terus leka dan tidak sedar diri. Kembalilah kepada Allah dalam membuat sebarang keputusan. In shaa Allah selamat,” jelasnya.