RAZIATUL HANUM A.RAJAK
PETALING JAYA - Keputusan Pas Pusat mengatasi keputusan Pas Permatang Pauh berhubung sokongan terhadap PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, bulan depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, apa sahaja keputusan Pas kawasan adalah hak kawasan tersebut namun hanya keputusan Pas Pusat yang terpakai.
"Ini berbangkit saya rasa sebab Mesyuarat Agung Tahunan di Permatang Pauh semalam dan ada satu usul dalam mesyuarat itu.
"Apa yang berlaku dalam mesyuarat itu adalah hak kawasan masing-masing tetapi dari segi perjalanan...apa sahaja keputusan Pas Pusat mengatasi keputusan Pas kawasan ataupun yang lebih bawah daripada Pas Pusat.
"Pas Pusat telah mengambil keputusan menyokong calon yang bertanding di Permatang Pauh daripada PKR dan begitu juga di Rompin. Dulu Pas bertanding, sekarang juga Pas yang kita sokong bersama. Jadi, tidak berbangkit lagi soal calon lain," katanya pada sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Semalam, Pas Permatang Pauh memberi kata dua kepada PKR jika mahu bantuan dan sokongan Pas kawasan itu dalam kempen PRK Permatang Pauh kelak.
Pihaknya meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Pas Pusat akan bertemu dengan Pas Permatang Pauh berhubung perkara itu, Mustafa tidak memberi jawapan yang pasti.
"(Pas pusat akan jumpa Pas Permatang Pauh?) Kita tengok suasana bagaimanalah," katanya ringkas.
Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turun berkempen untuk PKR di Permatang, Mustafa hanya menjawab, "keputusan yang dibuat oleh Pas Pusat (sokong calon PKR di Permatang Pauh) dipengerusikan oleh Datuk Seri Hadi."
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas soal perkembangan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu bertemu Pas Permatang Pauh berhubung kata dua itu, pimpinan PR seolah-olah tidak mengetahui mengenai kenyataan tersebut.
"Bila nak minta (jumpa) itu? Sebab perkara ini hanya timbul semalam. Bila kenyataan itu? Tidak ada kenyataan rasmi dari mana-mana lagi," kata Rafizi.
Sementara Naib Presiden PKR, Tian Chua turut mencelah dan menyebut bahawa pihaknya tidak memberi komen kepada perkara yang masih tidak dapat disahkan.
Kemudian Rafizi menyambung dan menyatakan bahawa setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi parti berhubung usul yang dibuat Pas Permatang Pauh tersebut.
"Saya tak boleh sahkan. Sebab isu itu hanya timbul tengahari semalam dan kita ambil keputusan untuk berbincang dengan pimpinan Pas Pusat dan rakan-rakan.
"Setakat ini, tidak ada sebarang kenyataan parti mengenai usul yang dibuat oleh Pas Permatang Pauh. Nanti saya tanya dia (Wan Azizah) lah," katanya.
Namun ketika ditemui Sinar Online selepas sidang media tersebut dan ditunjukkan berita yang dilaporkan semalam, Rafizi berpandangan kenyataan Wan Azizah itu mungkin kerana ketika ditanya beliau tidak tahu lagi mengenai usul itu.
"Saya tak pasti dia (Wan Azizah) sempat ke tidak jumpa. Saya rasa kenyataan ini (keluar) sebab semalam dia (Wan Azizah) ditanya mungkin dia tak tahu lagi. Sebab Haji Omar (Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan) tidak ada masalah masa pelancaran. Mungkin (sebab itu) kenyataan dia nak rujuk Haji Omar dulu," katanya.
Semalam Sinar Harian melaporkan Wan Azizah hairan dengan tuntutan yang disuarakan Pas Permatang Pauh kerana sebelum ini Omar pernah bertemunya semasa pelancaran jentera PKR Jumaat lalu.
Beliau berkata, dalam pertemuan yang turut disertai beberapa pimpinan Pas Pusat, Omar menyatakan sokongan terhadap PKR bagi menghadapi PRK Permatang Pauh.