Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Lagi 'cerita auta' BN pasal balak di Kedah

$
0
0
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
 
Kisah pembalakan di Charuk Genting Bunga, Pedu akhirnya reda apabila kira-kira 15 ribu penyokong kerajaan negeri mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat di lokasi tersebut bulan lalu. Perhimpunan besar di kawasan hutan, tanpa penempatan manusia agak unik dan keunikan itulah satu kaedah untuk memberitahu dunia secara berkesan bahawa BN berbohong kepada rakyat dalam isu pembalakan di sekitar Tasik Pedu.

Kini muncul pula satu lagi kawasan yang dikatakan terbabit dengan 'pembalakan rakus' yang mahu dijadikan isu oleh jentera propaganda BN. Modus operandi mereka sama saja iaitu memaparkan kawasan yang asalnya hutan tetapi kini digondolkan. Orang yang berfikir selapis akan menelan bulat-bulat propaganda tersebut tetapi orang yang berfikir berlapis-lapis tahu itu cuma cerita propaganda.

Asal usul bumi Malaysia sebelum kedatangan manusia, hampir semuanya adalah kawasan berhutan. Hari ini manusia memajukannya untuk pembangunan. Jika pembangunan yang dibuat merupakan bangunan berbatu atau mukabumi diturap, maka tiada hutan yang akan muncul semula di situ. Namun pembangunan untuk pertanian, hanyalah proses menukar jenis tumbuhan. Dari hutan rimba kepada ladang getah, kelapa sawit, nenas dan sebagainya. Sementara tanah itu berganti dengan tumbuhan baru yang bakal menutup serta menghijaukan permukaan bumi, maka tergondol terlebih dahulu. Itu proses biasa.


Begitulah proses pembangunan hutan yang berlaku di Bukit Perangin, Changloon yang terletak dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu. Ia mendapat liputan khas besar-besar oleh media talibarut BN baru-baru ini kononnya satu lagi projek pembalakan oleh kerajaan negeri. Sebenarnya dakwaan tersebut adalah karut. Tanah tersebut bukan berstatus hutan simpanan sebaliknya tanah persendirian yang mempunyai hak milik.

Cerita sebenarnya mengenai status tanah tersebut ialah; semasa kerajaan negeri sebelum ini, ada sekumpulan Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) yang memohon mendapatkan tanah kerajaan dan ianya sudah diluluskan pada masa itu. Bagi memenuhi permintaan tersebut tanah hutan simpan dicabut keluar, bertukar jadi tanah milik kerajaan negeri dan tanah itulah yang diproses.

Pihak negeri hanya mengikut dan meneruskan sistem kerajaan dahulu iaitu memberi tanah kepada pegawai kerajaan negeri yang banyak menyumbangkan jasa kepada kerajaan untuk dijadikan kawasan pertanian. Tanah di Bukit Perangin berkenaan dipilih kerana tanah itu pernah diceroboh dan sebagai langkah mengatasinya tanah tersebut dipilih untuk diberikan kepada pemohon. Maka di sinilah peranan Jabatan Tanah dan Galian memberi hak milik tanah serta geran kepada pemohon berkenaan. Walaupun dimulakan di zaman BN tapi pemberian hanya berlaku di zaman Pakatan.

Bila kerajaan dah beri hak milik, terpulanglah kepada mereka untuk majukan tanah berkenaan termasuk membersihkan tanah untuk menanam pokok getah, kelapa sawit serta membuat teres bagi membangunkannya.

Tanah seluas 142.76 hektar berkenaan dibahagikan kepada 40 orang pemohon dan setiap orang mendapat bahagian masing-masing untuk diusahakan. Berapa orang sangat pegawai KCS yang sanggup masuk kebun mengusahakan tanah yang tidak sebesar mana itu. Lalu mereka berpakat menyerahkan tanah tersebut bagi diusahakan oleh sebuah syarikat, tiap tahun cuma terima untung. Ia lebih efisien.

Sekarang kerja membangunkan tanah itu tergendala kerana 'kacau daun' yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pertanian Dato' Mohd Johari Baharom merangkap Ahli Parlimen Kubang Pasu. Beliau yang menimbulkan isu laporan penilaian alam sekitar (EIA). Konflik yang timbul ialah, jika tanah itu diusahakan secara berkelompok, yang pastinya melebihi 50 hektar; adakah ia juga perlu EIA sedang milikan setiap individu tidak melebihi 50 hektar? Apapun jawapannya yang pasti kerja membangunkan tanah tergendala. Ramai pemilik tanah marahkan Dato' Johari. Bagus juga, biar sesekali pegawai-pegawai kerajaan negeri marahkan menteri yang sibuk dengan isu yang tiada mengena dengannya.

BN akan terus menjadikan pembalakan di Kedah sebagai isu sekalipun pembalakan yang berlaku tidaklah sebesar mana. Sehingga kini terdapat seluas 300 ribu hektar kawasan hutan simpan yang melibatkan 10 kawasan, antaranya Gunung Jerai dan kawasan Ulu Muda makakala 30 kawasan hutan lagi telah digazetkan sebagai kawasan hutan simpan. Di samping itu 60 kawasan tambahan lagi akan digazetkan untuk tujuan yang sama. Ia lebih dari mencukupi, bukan setakat untuk membekal air minuman dan keperluan asas tetapi juga untuk pengairan padi di Kedah yang membekalkan 40 peratus hasil beras negara. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707