Oleh IZWAN ABDUL HALIM
T
ERATAK penduduk menjadi destinasi wajib bagi Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib setiap kali berada dalam Dun Tanjong Dawai. Beliau lebih selesa berziarah ke rumah penduduk mengamati kehidupan mereka berbanding mengadakan program menghimpunkan orang ramai kepadanya.
Hampir kebanyakan rumah dilawatinya jika diizinkan masuk, beliau pasti menjelajah hingga ke dapur. ‘Jelajahnya’ itu menghayati norma harian penduduk dalam diam.
Barangan sumbangan sentiasa tersedia di dalam kenderaan yang selalu dipandunya sendiri dengan disertai beberapa pegawai pusat khidmat beliau. Tidak cukup dengan pemberian dari pusat khidmatnya, acapkali juga beliau pantas menghulurkan wang tunai terutamanya anak-anak penduduk yang masih di alam persekolahan.
Bagi penduduk yang uzur, beliau tega dengan kesantunannya sebagai seorang doktor. Lalu ubat yang turut dibawa dalam kenderaan dibekalkannya. Jika ubat berkenaan tiada, beliau akan meminta pegawainya menghantar kemudian.
Disebalik keprihatinan disuguhkan, beliau juga menceriakan kesunyian teratak penduduk dengan keramahannya hinggakan mengundang air mata terharu mereka yang dikunjungi seusai ziarah. Pada setiap rumah yang beliau tinggalkan, pasti juga dititipkan dengan pesanan agar menjaga solat, mengingati Allah, rajin belajar, jaga kesihatan dan banyakkan bersabar.
Lantaran kesibukan beliau selaku Exco Kerajaan Negeri dan kerap terpaksa ke luar negara, masa yang ada juga dimanfaatkannya turun ke lokasi-lokasi penduduk berhimpun baik di masjid, kedai makan mahupun padang bola bermesra dengan mereka. Beliau akan menggerakkan bantuan sewajarnya pada hal yang diajukan.
Jika menganjurkan program, beliau lebih betah meraikan setiap hadirin dan melayan semua orang sebagai tetamunya. Hubungan akrab dibinanya itu menyebabkan penduduk dalam Dun beliau tidak kekok dengan beliau. Malah, ramai yang teruja untuk bergambar dengan beliau mengabadikan kenangan setiap kali bertemu.
Sungguhpun tidak terlihat perubahan fizikal berlaku dalam Dun Tanjong Dawai di bawah perkhidmatannya, namun ternyata penduduk amat terasa sentuhan Dr Hamdan sebagai wakil rakyat mereka. Menjelang Pilihan Raya Umum tidak lama lagi, penduduk pastinya tidak ragu-ragu untuk terus meletakkan beliau sekali lagi sebagai pilihan dan wakil mereka.