Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak berkata, selama ini rakyat Kedah terpaksa menanggung dosa dan kegagalan Umno-BN semasa mereka memerintah kerajaan negeri selama puluhan tahun.
Tegasnya, Umno sering mendabik dada kononnya mereka bijak mentadbir berbanding dengan pemimpin PAS yang dianggap tidak tahu memerintah, dengan hanya bersandarkan alasan orang PAS berpakaian ketayap dan serban semata-mata.
Tegasnya, dari sudut rekod yang diakui Ketua Audit Negara, selama lima tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Kedah membuktikan ia jauh lebih baik berbanding dengan pemerintahan Kerajaan Umno-BN.
Kegagalan Umno-BN yang meninggal bebanan hutang negeri yang besar jelas Ustaz Azizan, termasuk dengan salahlaku semasa mengurus tadbir negeri, menyebabkan rakyat Kedah terpaksa menanggung sengsara akibat tatakelola yang merugikan kerajaan negeri.
Ustaz Azizan yang ditemui Harakah di Pejabatnya di Wisma Darul Aman 28 Mac lalu, memberitahu, sejak PAS mengambil alih kerajaan negeri, pihaknya berjaya mengurangkan hutang kerajaan dan menghidupkan semula beberapa projek yang gagal disiapkan di zaman Umno-BN memerintah.
Antara kejayaan besar selama lima tahun ini tegas beliau, membina Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang menelan belanja RM300 juta dengan keupayaan kerajaan negeri yang sangat terhad.
Namun tambah beliau, ianya mampu disiapkan sebaiknya dan kini menjadi mercu tanda Kedah sebagai negeri yang mula menjadi tumpuan pelajar untuk menyambung pengajian tinggi.
Antara penyelewengan Kerajaan Umno-BN sewaktu memerintah dahulu termasuklah, Yayasan Islam disaman RM11 juta; RM6.5 juta hilang, RM2.16 disaman dalam projek udang; Projek 990EAST Langkawi rugi RM48 juta; Kerajaan Negeri akan disaman RM22 juta; Beban dan rugi Seri Temin RM25.6 juta; Loji air Padang Sanai dan Lubuk Buntar RM145 juta; Perjanjian Taliwork Langkawi RM125 juta; Kemusnahan alam projek di Gunong Jerai; Kompleks MPSPK lesap RM10 juta; Projek balak laluan Tekin hilang RM3 juta dan Feedlot Pendang RM3.5 juta lesap.