Quantcast
Channel: KDL
Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707

Elakkan budaya menghukum

$
0
0
Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Saya tertarik membaca buku baru yang ditulis oleh Imam Feisal Abdul Rauf yang bertajuk ' Moving the mountain' ( secara literal bermaksud ' menggerakkan gunung' ). Imam Feisal adalah Imam Masjid Al-Farah di Washington D.C, Amerika Syarikat. Buku tersebut , saya akui, bersifat 'thought provoking' ataupun menggoncang minda kerana penulis cuba membawa isu-isu kontemporari dari sudut yang agak lari dari aliran konvensional.

Walaupun sasaran penulis dalam buku itu lebih kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di barat namun banyak petikan dalam buku itu yang menarik minat saya selaku ahli gerakan Islam -Pas.

Di bawah bab "Islam dan agama-agama lain" saya tertarik apabila Imam Feisal menbawa cerita yang agak lucu yang diceritakan oleh Maulana Jalaluddin Al-Rumi berkaitan dengan kisah Nabi Musa a.s dan penggembala. Pada suatu hari apabila Nabi Musa a.s sedang berjalan Baginda bertemu dengan seorang penggembala yang sedang begitu asyik meluahkan perasaannya kepada Tuhan. Nabi Musa terdengar penggembala tersebut meluahkan cintanya kepada Tuhan dengan kata--kata berikut " Aku ingin tolong Kamu ( Tuhan ), aku ingin betulkan kasut Kamu, menyikat rambut Kamu dan aku ingin mandikan Kamu dan membersihkan kaki Kamu" dan begitulah seterusnya luahan si penggembala tersebut.

Musa a.s yang agak marah dengan cara sipenggembala itu menggambarkan Tuhan yang antara lain secara tersirat kononnya Tuhan mempunyai kaki yang kotor yang perlu dibasuh , telah menegur sipenggembala itu di atas kemurtadannya itu. Maulana Rumi menyatakan Allah kemudiannya menegur Nabi Musa a.s dengan menyatakan kepada Baginda bahawa sipenggembala tersebut adalah hambaNya yang sedang meluahkan rasa cinta dan sayang beliau kepada TuhanNya dalam kefahamannya yang terhad tentang Allah . Allah telah menerima luahan cinta penggembala itu bukan kerana ketepatan luahan tersebut sebaliknya kerana rasa rindu dan hasrat sucinya untuk berkhidmat kepada Tuhannya.

Cerita itu berakhir dengan pengakhiran yang menggembirakan apabila Nabi Musa a.s pergi semula kepada penggembala tersebut untuk meminta maaf dan sipenggembala itu pula berterima kasih kepada Nabi Musa.a.s kerana dengan teguran Nabi Musa itulah telah membawa beliau kepada tahap baru dalam pengabdiannya kepada Allah.

Bagi saya cerita Maulana Rumi di atas banyak pengajarannya. Antaranya amat amat perlu bagi kita sebagai ahli gerakan Islam di dalam membawa mesej Islam ini tidak terlalu cepat dan gopoh menghukum seseorang dalam apa- apa perkara kecuali ianya melibatkan perkara dan hukum yang terlalu jelas.

'Allamah Yusuf al Qardhawi di dalam satu artikelnya bertajuk " Bahaya memudah-mudahkan menghalal dan mengharam" menyatakan di dalam artikel itu bahawa kuasa menghalal dan mengharamkan sesuatu benda atau perkara adalah kuasa mutlak Allah s.w.t. Islam , kata Al-Qardhawi , tidak seperti agama Kristian, yang membenarkan rahib-rahib dan paderi-paderi mereka menghalal dan mengharam sesuatu perkara dan tindakan itu tidak dibantah oleh para pengikut agama itu.

Di dalam kitab Al-Umm' karangan Imam Syafie r.a beliau menukilkan apa yang dikatakan oleh Imam Abu Yusuf , sahabat Imam Abu Hanifah r.a iaitu "aku tidak pernah melihat syeikh-syeikh yang tinggi ilmunya menyatakan sesuatu itu halal atau haram kecuali perkara itu terlalu jelas." Budaya atau etika ulama salaf dan khalaf adalah jika mereka ditanya sesuatu hukum mereka lebih suka menjawab menggunakan perkataan -perkataan seperti "aku tidak suka"atau "tidak mengapa".Para ulama tersebut lebih berhati hati menggunakan istilah halal dan haram . Amat tepatlah apabila dikatakan " tidak akan berjaya umat ini melainkan mereka mengikut jejak langkah kejayaan umat yang terdahulu".

Saya rasa inilah sikap yang perlu ada kepada para ulama dan ahli gerakan Islam . Elakkan menggunakan istilah istilah yang dilihat bersifat menghukum.

Alhamdulillah para ulama Pas melalui Majlis Syura telah menyokong pendirian Presiden Pas bahawa adalah tidak salah untuk orang-orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Pendapat ini sekaligus menolak pendapat mantan Mufti Johor , Mohd Noor Gadut sepertimana yang dilapor di dalam akhbar bahawa mereka yang membenarkan atau menyokong orang-orang bukan Islam menggunakan nama Allah boleh dikira murtad.

Mungkin kita berhak bertanya kepada bekas Mufti tersebut kenapakah tiada sebarang kenyataaan dari beliau apabila Umno mengubah-ubah hukum Allah melalui undang-undang yang Umno gubal di Negara ini. Bukankah hukum haramnya judi ( maisir ) adalah jelas iaitu haram secata qat'ie dan termasuk dalam perkara yang dipanggil " ma'lum min al-Deen bi al-darurah" ( hukum yang perlu diketahui secara perlu ). Tidakkah apabila Umno menghalalkan judi dengan memberi lesen adalah termasuk kepada perbuatan menghalalkan apa yang Allah haramkan !!!

Apabila Mohd Nor Gadut mengaitkan mereka yang menyokong membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai murtad saya musykil dan berhasrat bertanya beliau dengan soalan ini. Bukankah di dalam sulh al-Hudaibiyyah apabila Suhail Al -Amr juru runding bagi pihak kafir Quraisy tidak bersetuju digunakan kalimah "Bismillahi al Rahman al Rahim" di dalam perjanjian itu beliau meminta ditukar dengan kalimah " bismika Allah". Apabila Rasulullah s.a.w menerima saranan Suhail yang kafir itu yang menggunakan kalimah Allah, tentu menarik untuk kita mendenga jawapan bekas Mufti Johor tersebut.

Viewing all articles
Browse latest Browse all 19707